Garis Panduan dan Peraturan Lawatan

SYARAT DAN GARIS PANDUAN LAWATAN KE PUSAT JANTUNG SARAWAK

OBJEKTIF

Garis panduan ini disediakan sebagai sumber rujukan kepada warga Pusat Jantung Sarawak (PJS) yang bertugas dalam mengendalikan pelawat di samping memperjelaskan tentang tatacara kemasukan dan pergerakan orang awam yang berurusan di Hospital ini.

LATAR BELAKANG

Terdapat beberapa unit yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam mengendalikan pergerakan masuk dan keluar pelawat di Jabatan ini. Ini kerana Jabatan ini berurusan dengan pelbagai peringkat pergerakan pelawat seperti pelawat harian, pelawat khas (pekerja sukarela) dari badan keagamaan dan penjaga pesakit. Garis panduan ini dikeluarkan sejajar dengan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil.08/1995.

 

DEFINISI PELAWAT

  1. Definisi pelawat yang akan digunapakai dalam garis panduan ini adalah seperti berikut:

3.1       Pelawat Harian

Pelawat harian adalah pelawat yang datang melawat ahli keluarga yang berada di wad-wad Hospital. Pelawat Harian diminta mematuhi WAKTU MELAWAT seperti berikut:

Isnin hingga Ahad            6.00 pagi hingga 7.00 pagi,

dan Cuti Umum                 12.30 tengahari hingga 2.00 petang

                                                 5.30 petang hingga 7.30 petang

 

Pelawat harian akan dipantau oleh pengawal keselamatan bagi mengelak sebarang kesesakkan di dalam wad. Bagi  Wad Cardiac Care Unit (CCU) dan Cardiac Intensive Care Unit (CICU) hanya dua (2) orang pelawat sahaja dibenarkan memasuki pada satu-satu masa mengikut budi bicara penyelia wad berkenaan.

3.2       Pelawat rasmi atau tidak rasmi

Permohonan lawatan harus dibuat secara bertulis kepada Pengarah PJS untuk kelulusan. Walau bagimanapun terdapat lawatan Ad Hoc menerusi talian telefon atau menggunakan sistem pesanan ringkas ke Pejabat Pengarah. Dan lawatan seperti ini selalu melibatkan orang-orang kenamaan. PJS menerima permohonan lawatan yang terdiri daripada Kementerian dan Jabatan Kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGOs), dan badan-badan keagamaan, serta kelab atau persatuan dari Institusi pendidikan.

 

Permohonan secara bertulis amat penting bagi memudahkan urusan lawatan bagi memastikan sama ada lawatan yang dilakukan oleh pihak luar bersifat rasmi atau tidak rasmi. Ini juga membantu unit berkenaan dapat membantu menyelaraskan masa lawatan yang sesuai seperti berikut :

 

            Lawatan Sesi Pagi             9.00 am – 12.30 pm (Isnin – Khamis)

                                                            9.00 am – 11.30 am (Jumaat)

            Lawatan Sesi petang         2.30 pm – 4.30 pm (Isnin – Jumaat)

 

Ini bertujuan bagi memberi ruang kepada Pegawai Perubatan menjalankan pemeriksaan kepada para pesakit di wad pada awal pagi dan waktu tengahari serta pertukaran shift atau ‘handling over’ pagi, petang dan malam di kalangan kakitangan di wad.

 

3.3       Pelawat Khas (Pekerja Sukarela)

Pelawat khas adalah pelawat yang datang ke hospital untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan. Pelawat khas memerlukan Pas Pelawat Khas yang perlu dipohon menerusi Unit Keselamatan hospital. Pelawat khas boleh menjalankan aktiviti keagamaan kepada pesakit yang sama agama sahaja dan bukannya kepada pesakit yang berlainan agama. Ia bertujuan untuk mengelak sebarang isu sensitif dan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku.

 

Setakat ini hanya Daie Hospital yang dilantik oleh Tabung Baitulmaal Sarawak mempunyai Pas Lawatan Khas bagi menjalankan aktivit keagamaan dan kebajikan bagi para pesakit beragama Islam di PJS. Mereka akan datang melawat pesakit di wad setiap Hari Rabu setiap minggu.

 

3.4       Penjaga Pesakit

Penjaga pesakit juga dianggap sebagai pelawat kerana penjaga pesakit seringkali bertukar dalam satu-satu tempoh masa. Walau bagaimanapun, hanya seorang penjaga dibenarkan untuk menemani pesakit yang berada di wad. Pergerakan penjaga pesakit dipantau oleh pengawal keselamatan dan penyelia wad bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini (kecurian/kehilangan/kerosakkan milik hospital atau pesakit lain).

Nota : Kad Penjaga belum dilaksanakan di PJS

 

LARANGAN

  1. Permis hospital yang tidak boleh dilawati adalah Dewan Bedah melainkan bagi tujuan pembelajaran untuk Pelajar Perubatan dan pelatih dengan kelulusan Pengarah hospital.
  2. Kanak-kanak dibawah umur dua belas tahun (12) adalah DILARANG memasuki wad. Ini bagi mengelak sebarang jangkitan kepada pesakit dan pelawat itu sendiri. Kemasukkan kanak-kanak ke wad adalah dibawah tanggungan risiko kanak-kanak dan keluarga kanak-kanak itu sendiri.

 

PERATURAN SEMASA KETIKA BERADA DI WAD

Sebelum Lawatan bermula

  1. Para pelawat perlulah berada dalam keadaan sihat jika ingin memasuki wad. Sila maklumkan kepada pegawai bertugas sebelum memasuki wad.

Semasa lawatan

  1. Semasa berada di dalam wad, para pelawat perlu mencuci tangan terlebih dahulu menggunakan cecair ‘Hand Rub’ yang disediakan di koridor dalam wad. Prosedur ini adalah WAJIB bagi mengelak sebarang jangkitan kuman dari luar menjangkiti pesakit dan begitu juga sebaliknya.
  2. Penyelia Jururawat @ Sister atau kakitangan bertugas perlu membuat taklimat ringkas mengenai peraturan semasa dan situasi wad masing-masing bagi makluman rombongan pelawat.
  3. Para pelawat tidak dibenarkan mengambil sebarang foto, video serta membaca laporan pesakit yang diletakkan di sisi katil pesakit kerana ini adalah rahsia hospital dan pesakit sendiri. Sebarang pengambilan gambar haruslah mendapat kebenaran Pengarah Hospital terlebih dahulu. Dan sekiranya Pengarah membenarkan pengambilan gambar, pesakit masih ada hak untuk menolak gambar mereka untuk diambil.
  4. Gambar yang diambil hanyalah merujuk kepada objektif dan aktiviti pelawat. Dan ianya hanya untuk perkongsian jabatan/persatuan/kelab yang diwakili dan bukannya untuk paparan media massa maupun media elektronik.
  5. Sekiranya pelawat ingin memberi hadiah atau sumbangan kepada para pesakit, maka makanan dan minuman yang disediakan di rumah adalah tidak digalakkan. Ini bagi menjamin status halal dan kebersihan makanan dan minuman. Sumbangan boleh dalam bentuk ‘toiletary’, pack food (air kotak), buah-buahan dan sebagainya. Ini perlu bagi memastikan makanan yang disediakan tidak melanggar peraturan diet pesakit yang telah ditetapkan oleh doktor dengan kerjasama Jabatan Dietetik & Sajian hospital.

Selepas lawatan berakhir

  1. Para pelawat harus mencuci tangan selepas lawatan berakhir.
  2. Pelawat juga diminta menandatangani Buku Pelawat yang disediakan (jika ada) di wad untuk rekod wad masing-masing.

Maklumat tambahan

  1. Para pelawat yang memiliki pas lawatan tidak dibenarkan menyalahggunakan pas dalam apa jua bentuk atau cara sekalipun. Jika terdapat penyalahgunaan, pemegang pas boleh dikenakan tindakan seperti berikut:
  • Pas akan ditarik balik
  • Pelawat akan disenarai hitamkan dari memasuki kawasan hospital
  • Pendakwaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) sekiranya ada unsur jenayah.
  • Anggota hospital berhak menahan dan mengeluarkan mana-mana pelawat yang didapati melanggar apa-apa peraturan/arahan yang telah dikeluarkan
  • Pelawat hendaklah sentiasa mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa hospital dari semasa ke semasa.

Sumber Rujukan

  1. Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Bil. 8/1987
  2. Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil.8/95: Garis Panduan /Peraturan bagi pekerja sukarela yang menjalankana aktiviti keagamaan di hospital
  3. Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil.14/2002: Garis Panduan Sistem Kawalan Keselamatan di hospital-hospital KKM
  4. Surat Pekeliling Am Ketua Setiausaha KKM Bil1-1 Tahun 2011